Presiden COWAM, 
                                      En Hamdan Samah (PPM007).
     

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera buat semua Warga COWAM yang saya hormati.


    Alhamdulillah, tahun ini genap 8 tahun usia Persatuan Inspektor Pembinaan Malaysia. Suatu jangka usia yang masih boleh dianggap muda. Banyak cabaran dan dugaan yang kita hadapi sepanjang perjalanan dalam membaiki pengurusan persatuan dari dalam dengan menambahbaik urusan pentadbiran dan kewangan dengan aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli dalam meningkatkan produktiviti melalui sumber ilmu bermanfaat.


    Tahniah saya ucapkan kepada Ahli Jawatankuasa kerja COWAM Pusat 2019-2021 kerana berjaya membawa suatu perubahan dalam urusan pentadbiran persatuan serta melaksanakan tanggungjawab sosial kepada semua Ahli COWAM berdaftar. Secara tidak langsung ia juga kepada semua Pemeriksa Tapak Berdaftar dibawah Lembaga Jurutera Malaysia dan Lembaga Arkitek Malaysia. Kesemua AJK yang ada bekerja secara sukarela dalam memastikan setiap aktiviti persatuan berjalan mengikut jadual sepertimana dirancang.


"Continuing Professional Development" (CPD).

    Banyak lagi program melibatkan "Continuing Professional Development" (CPD) yang akan diatur untuk semua Pemeriksa Tapak. Apa yang saya harapkan adalah tuan-tuan yang telah berdaftar dengan pihak lembaga agar terus mengekalnya. Ini untuk mengelakkan pihak lembaga dari membatalkan pendaftaran tuan-tuan. Pastikan tuan-tuan menghadiri seminar yang mempunyai kelulusan mata CPD dari pihak lembaga.


Profession dan kerjaya.

    Sekiranya tiada apa-apa halangan, COWAM kini dalam proses untuk merangka jaringan kerjasama dengan pihak "Job Hunter" bagi menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada ahli yang kehilangan kerja atau meinginkan peluang kerjaya yang lebih baik. Ia masih lagi diperingkat perancangan dan akan dilaksanakan apabila sampai masanya nanti dan merupakan langkah terbaik dalam membantu ahli terutamanya yang kehilangan pekerjaan.


Pendaftaran Ahli Baru dan Seminar.

    Melalui laman web yang baru dibangunkan oleh Ahli Jawatankuasa, banyak pembaharuan akan mula dilaksanakan. Antaranya, pendaftaran ahli baru kini boleh dibuat melalui laman web dan mendaftar untuk menghadiri seminar. Ahli juga kini boleh memuat turun artikel berkaitan kejuruteraan melalui laman web COWAM.


Keistimewaan sebagai Ahli COWAM.

    Banyak perkara yang telah dirancang akan dilaksanakan secara berperingkat dan ianya bergantung kepada kedudukan kewangan persatuan. Sepertimana yang telah diumumkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-8 pada 27 Sept 2020, pihak persatuan akan memberikan sumbangan tunai kepada waris ahli sekiranya ahli meninggal dunia. Walaubagaimanapun ianya terpakai kepada ahli aktif yang tiada yuran tertunggak. Oleh itu pastikan tuan-tuan tidak mempunyai yuran tertunggak setiap tahun. 


Adalah diharap agar pembaharuan yang telah dibuat akan dapat dimanfaatkan oleh ahli dan semoga kita semua senantiasa bergerak sebagai satu pasukan dan terus berusaha dalam memperbaiki diri.


Sekian dari saya,

"CEMERLANG INTEGRITI PEMBINAAN BERKUALITI".




HAMDAN BIN SAMAH@OTHMAN
Presiden,
Persatuan Inspektor Pembinaan Malaysia
(PPM-002-14-05042013)